Make your own free website on Tripod.com
[Muka Depan]
RISALAH SEMASA PMIUM

Kenapa Perlunya Beriltizam Dengan Kepimpinan Islam

Sudah menjadi fitrah manusia, perlu kepada pimpinan. justeru itu, Allah s.w.t. melantik pemimpin bagi setiap umat di setiap zaman dan kurun yang mana terdiri daripada para Nabi dan Rasul. Rahmat dan kasih sayang Allah tidak kunjung padam kepada umatNya kerana selepas kewafatan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., amanah kepimpinan disambung pula oleh khulafa' Ar-Rasyidin. Mata rantai perjuangan Rasulullah tidak terhenti di situ sahaja, malah terus-terusan disambung oleh para Ulama' pewaris Anbiya'. sebagaimana Hadith Nabi yang bermaksud; "Para Ulama' adalah sebagai pewaris kepada tugas dan tanggungjawab yang dilakukan oleh para Nabi". (Hadith Riwayat Ibnu Najjar dari Anas)

Dalam hadith lain, Rasulullah s.a.w. menegaskan lagi katanya: "Para Ulama' itu adalah sebagai obor (penyuluh) di permukaan bumi Allah ini dan sebagai pengganti (khalifah) para Nabi dan sebagai waris kepada Aku dan sebagai pewaris para Nabi". (Hadith Riwayat Ibnu A'dy dari Sayyidina Ali KarramallahuWajhah)

Kepimpinan dalam Islam adalah kesinambungan warisan Rasul yang diamanahkan untuk memelihara dan melindungi umat dan ia perlulah memiliki kesempurnaan. Keperluan kepada kepimpinan Islam semakin ditonjolkan oleh realiti massa hari ini. Di mana-mana sahaja orang membicarakan soal kepimpinan dan pemimpin itu sendiri. Namun, dilema ummah hari ini dalam mengisi kekosongan kepimpinan tunggal yang boleh diterima semua sejak runtuhnya khilafah Turki Uthmaniyyah di Turki 73 tahun yang lampau masih belum bertemu titik pengakhirannya. Walaubagaimanapun, keperluan terhadap pemimpin akan tetap berlaku di mana-mana sahaja, sabagaimana sebada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jika kamu berjalan tiga orang, maka kamu mesti melantik seorang di antara kamu menjadi pemimpin".

"Dunia telah mengalami kerugian yang amat besar kerana telah menolak Islam dalam mengatur kehidupan insan". Demikian kata Abu Hasan Ali An-Nadawi yang bolah disimpulkan bahawa menolak Islam termasuk juga menolak terhadap kepimpinan Islam yang boleh menyebabkan penderitaan manusia khususnya umat ini. tidak ada alasan yang kukuh untuk menolak kepimpinan Islam. Walhal kepimpinan Islamlah yang mendominasi percaturan dunia sejak lama dulu. Kepimpinan Islam tetap unggul dan akan terus mengungguli ummah kerana ia adalah kepimpinan yang bertanggungjawab kepada Allah s.w.t., kepimpinan yang sentiasa menjaga wilayah dosa dan pahala. Inilah kepimpinan yang perlu diiltizami oleh semua kerana ianya merujuk kepada ciri-ciri kepimpinan yang diserlahkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat berikutnya. Rasulullah sebagai pemimpin contoh yang cukup sempurna dari segi akhlak, amanah, bijaksana, cekap dan sebagainya. Ciri-ciri seperti ini walaupun sukar ditemui pada masa kini untuk menjadi pemimpin namun, itulah asas yang digariskan oleh Islam dalam memilih pemimpin.

Suatu hakikat yang tidak perlu diperdebatlan lagi adalah Kepimpinan Islam mampu merubah dunia, membawa ketamadunan pada setiap zaman, membangunkan ummah dan menjulang kegemilangan buat dunia Islam. Lihat saja pada sirah Rasulullah, khulafa' Ar-Rasyidin dan Ulama'-ulama' selepasnya yang terpahat kukuh dalam lipatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa dengan kepimpinan Islam sahajalah segala kegemilangan ini akan berulang kembali.

Prinsip Kepimpinan Islam adalah unik dan adil untuk manusia sejagat. Allah telah mengamanahkan kepada manusia sebagai khalifah di muka buumi ini untuk mentadbir mengikut hukum-hakam Allah, serta melaksanakan keadilan dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemimpin Islam adalah hamba kepada rakyat yang sentiasa berkhidmat demi mencari keredhaan Ilahi. Kepimpinan Islam yang didasari oleh pimpinan al-Quran (suatu sistem tadbiran Ilahi) melahirkan pemimpin yang bertaqwa yang sentiasa menghubungkan hatinya kepada Allah dan takut dengan amanah yang dipikulkan kepadanya. Setiap kesilapan akan ditanya dan dipersoalkan di Mahkamah Agung Allah di akhirat kelak.

Kepimpinan Islam akan terus berNADI dengan adanya keiltizaman daripada ummah sejagat. Kalau tidak kita yang menyokong dan mendokong kepimpinan dan perjuangan Islam, siapa lagi? Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan yang masih keliru dan menerima pakai kepimpinan sekular yang putus hubungannya dengan Allah.

WallahuA'lam. :

 

[Muka Depan]