Make your own free website on Tripod.com
[Muka Depan] [Gambar][Memorandum]

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN  

Tanggal 10 November 1998 merupakan detik bersejarah bagi gerakan mahasiswa di Universiti Malaya sejak ia mula ditubuhkan. Dua buah parti gerakan mahasiswa yang utama di kampus perdana ini, NADI dan Barisan Mahasiswa Bersatu ( BMB) telah menjalani satu proses menandatangani   memorandum persefahaman (MoU) dan berjaya membentuk satu gagasan  mahasiswa buat pertama kalinya.

Pembentukan gagasan tersebut yang dikenali sebagai Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya, terdiri daripada parti NADI, BMB dari kaum Melayu, PKPIM, kaum Cina  dan India. Detik-detil yang penuh bersejarah tersebut telah dihadiri dan disaksikan oleh kira-kira 300 orang mahasiswa yang terdiri daripada penyokong kedua-dua belah pihak serta pemerhati. Ternyata, pada sesi ini, kedua-dua belah pihak telah mengambil satu keputusan yang agak mengejutkan dengan menandatangani perjanjian untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama.
 
Majlis penandatanganan tersebut telah disempurnakan oleh wakil-wakil dari kedua-dua belah pihak. Pihak NADI atau  yang lebih dikenali dengan ciri-ciri 'ABILITY, DINAMIC, INTERGRITY dan NICE' telah diketuai oleh saudara Mohd.Nasir Zakaria, yang juga merupakan Presiden PMIUM sesi 1998/99, sementara pihak BMB pula diketuai oleh saudara Hamzah Hussin. Kedua-duanya telah membuat penyerahan memorandum yang telah ditandatangani oleh pihak masing-masing sebagai tanda persetujuan untuk mewujudkan kerjasama.
 
Menurut saudara Hamzah, kesedaran dalam dirinya untuk membentuk suatu gabungan memang telah terdetik sejak dahulu lagi.

 " Sejak dahulu lagi saya sering memikirkan mengapa tidak dibentuk kesatuan dalam gerakan mahasiswa. Oleh yang demikian, atas dasar untuk menuntut keadilan sejagat, saya berpendapat ini adalah satu peluang yang baik dan bersetuju untuk melakukan penggabungan. Apa yang saya harapkan, semoga segala yang telah ditandatangani dalam MoU ini akan terlaksana dengnan baik."

Beliau juga mengharapkan agar kedua-dua pihak saling hormat-menghormati serta mengambil sikap sama tara dalam membuat sebarang keputusan, tanpa prejudis kepada pihak tertentu.
 
Sementara itu, wakil pihak NADI, saudara Mohd.Nasir Zakaria pula menyatakan bahawa majlis penandatanganan ini merupakan titik baru dalam sejarah gerakan mahasiswa.

" Seperti yang telah diperkatakan tadi, asas penggabungan kami adalah demi memperjuangkan keadilan untuk semua mahasiswa di kampus ini tanpa mengira bangsa dan agama. Perbezaan bangsa ataupun agama tidak patut dijadikan batu penghalang untuk membentuk kesatuan bagi menentang ketidakadilan yang semakin menular di dalam negara mahupun di kampus."
 
Beliau turut menekankan bahawa mahasiswa hari ini yang merupakan generasi baru, perlu mengadakan suatu tajdid serta membuka era baru dalam aspek sikap dan pemikiran untuk membina halatuju masyarakat.

 " Agama Islam sendiri menyarankan umatnya agar menentang sebarang ketidakadilan. Oleh itu, kami mengambil sikap terbuka untuk menerima mana-mana individu yang ingin turut sama memperjuangkan keadilan di samping sentiasa memastikan aspirasi mahasiswa akan terus didukungi. Persefahaman perlu diwujudkan dalam perkara yang boleh disepakati sementara bagi perkara yang tidak boleh diadakan persepakatan, sikap bertolak-ansur perlu diwujudkan", jelasnya lagi.
 
Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya yang berjaya dibentuk ini memilih ungkapan "Bersatu Memperjuangkan Aspirasi Mahasiswa dan Keadilan Sejagat " sebagai mottonya.Diharapkan agar gagasan yang telah terbentuk ini mampu membawa satu perubahan dalam kehidupan mahasiswa serta dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu dan harmonis.
 

TEGUH MENDOKONG ASPIRASI - MAHASISWA DAN KESEJAHTERAAN SEJAGAT

 

 

[Muka Depan] [Gambar][Memorandum]