Make your own free website on Tripod.com
[Muka Depan]
 

BERITA SEMASA

9 November 1999 Tanggal 9 November 1999 sekali lagi merupakan detik bersejarah bagi gerakan mahasiswa di Universiti Malaya kerana talah berjaya buat kali keduanya membentuk satu gagasan  mahasiswa. Majlis yang diadakan di DKU, Akademi Pengajian Islam jam 9.30 malam itu turut dihadiri oleh mahasiswa Universiti Malaya daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Pembentukan gagasan tersebut yang dikenali sebagai Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya, adalah penerusan daripada persefahaman yang telah dibuat pada sesi lepas pada 10 November 1998.

Majlis penandatanganan tersebut telah disempurnakan oleh Presiden Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Saudara Huzairi Hussein bersama wakil mahasiswa Cina dan mahasiswa India. Masing-masing telah membuat penyerahan memorandum yang telah ditandatangani oleh pihak masing-masing sebagai tanda persetujuan untuk mewujudkan kerjasama.
 
Asas penggabungan ini adalah demi memperjuangkan keadilan untuk semua mahasiswa di kampus ini tanpa mengira bangsa dan agama. Perbezaan bangsa ataupun agama tidak patut dijadikan batu penghalang untuk membentuk kesatuan bagi menentang ketidakadilan yang semakin menular di dalam negara mahupun di kampus.
 
Agama Islam sendiri menyarankan umatnya agar menentang sebarang ketidakadilan. Oleh itu, PMIUM mengambil sikap terbuka untuk menerima mana-mana individu yang ingin turut sama memperjuangkan keadilan di samping sentiasa memastikan aspirasi mahasiswa akan terus didukungi. Persefahaman perlu diwujudkan dalam perkara yang boleh disepakati sementara bagi perkara yang tidak boleh diadakan persepakatan, sikap bertolak-ansur perlu diwujudkan.
 
Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya yang berjaya dibentuk ini memilih ungkapan "Bersatu Memperjuangkan Aspirasi Mahasiswa Ke Arah Perubahan" sebagai mottonya.Diharapkan agar gagasan yang telah terbentuk ini mampu membawa satu perubahan dalam kehidupan mahasiswa serta dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu dan harmonis.

 

[Muka Depan]